Cerpen Zalila Isa :Dahlia dan Syair yang Hilang
Minggu, 21 Agustus 2022 - 21:35:46 WIB
 

TERKAIT:
   
 


"Saya tahu ini mungkin mengganggu tuan. Tapi izinkan saya melakukannya."
Raut wajah lelaki yang kelihatan berusia hampir setengah abad itu berkerut, matanya merenung aneh kepadanya dan hampir sahaja dia berundur meninggalkan tempat itu dengan segera. Suara lelaki itu kemudiannya memberhentikan langkahnya yang baru disusun. "Baik. Jangan sampai pelanggan kafe ini lari atau kau jangan meminta lebih daripada sepinggan nasi! Kau boleh mula sekarang. Dan aku beri masa tiga jam untuk kau membuktikan kata-katamu."
Agak keras syarat itu namun dia – Dahlia, menarik nafas dalam-dalam. Walaupun sedikit gentar, dia bertekad. Dia meletakkan beg sandangnya kembali, melihat sekeliling kafe yang bingit dengan lagu yang keras iramanya dan bait lirik yang entah apa butirnya. 
Dahlia mengambil tempat di penjuru kafe. Ketika lagu keras itu dimatikan, sebahagian pelanggan merungut dan membebel, “Apa ni? Senyap macam kubur!”
Dahlia gementar apabila beberapa mata mula memandangnya. Dahlia melihat sedikit cahaya dari pintu masuk dan jendela yang menghadap jalan yang sesak dan mula memetik gitarnya diikuti suara yang bergetar membaca bait demi bait catatan yang hampir dihafalnya itu. Dia hanyut dalam aksara. Tenggelam dalam iramanya. Bacaannya menuju baris akhir. Jemarinya terhenti pada perkataan yang menamatkan bacaannya – “tersebar ke seluruh desa dan negeri … itulah insan beradab berbudi” yang sengaja ditekan dengan suara yang sedikit tinggi.
Sesudah satu muka surat karangan itu dibaca, dia membuka matanya perlahan-lahan, kembali ke alam realiti. Matanya berperang dengan setiap pandangan yang menikam di hadapannya. Dahlia terdiam. Dia tahu ini aneh dan dia tahu risiko tindakannya ini amar besar. Seperti membuka kembali peti lama yang sudah tertanam di perut bumi berkurun lamanya yang tersimpan khazanah yang dilupakan atau mahu dilupakan orang.
Beberapa saat kemudian, tepukan gemuruh memenuhi ruang kafe. Dahlia hampir terjatuh dan tersandar ke dinding. Mujur tangannya sempat memaut meja di tepinya. Dahlia menguntum senyuman dan hampir menitiskan air mata. Dia menunduk hormat kepada semua.
"Nyanyikan lagi!"
Jeritan itu yang entah daripada siapa – Dahlia tidak perasan, matanya berkolam. Namun jeritan itu membuatkan dahlia melebarkan senyumannya lebih lama. Dahlia teringatkan Nek Cah. “Nenek, Lia berjaya nek.” 
Cerita tentang Dahlia cepat tersebar. Dia tidak berasa hairan dengan persekitaran baharu itu. Dunia sedang bergerak laju menuju masa depan. Dia juga sebahagian kemodenan yang merayapi dunia.
“Masa depan? Kita tidak pernah tahu masa depan bagaimana. Tapi kita boleh berusaha dengan pelbagai cara. Mulakan dengan apa yang kita suka.” Suara Nek Cah tiba-tiba sayu. Air mata yang mula bertakung dalam kolam matanya segera diseka.
“Lia harus simpan semua catatan ini. Mungkin ia akan menjadi penawar dan pesanan di masa hadapan.” Demikian pesan neneknya, Cah Kesum. 
Mengingat nenek yang menjaganya sejak kecil, Dahlia menjadi sayu. Cah Kesum, neneknya itu bukan calang-calang wanita. Pernah ‘mengaji’ sehingga ke seberang negeri - belajar mendalami ilmu agama dan pelbagai ilmu bidang yang lain. “Sebenarnya aku bukanlah belajar sangat pun. Sekolah hanya tempat belajar membaca. Selainnya kita belajar daripada alam dan manusia sekeliling.” Nek Cah membongkar rahsia sambil tergelak kecil.
Nama sebenar nenek ialah Aisyah Kalsum. Orang memanggilnya dengan nama Cah Kesum. Dahlia hanya ada Nek Cah. Semasa Dahlia lahir, Nek cah sudah bergelar janda. Nek Cah bukan sahaja cantik semasa zaman mudanya tetapi bijaksana. Nek Cah pernah menjadi penyanyi istana sebelum dilamar datuknya. Nek Cah menjadi janda pada usia muda dan hanya mempunyai seorang anak. Itulah Ibu Dahlia. Namun, umur ibunya juga tidak panjang. Ibu bapa Dahlia ditimpa kemalangan ketika Dahlia masih kecil. 
Semasa kecil, Dahlia tidur di bilik Nek Cah. Ketika usianya mula mencecah 8 tahun, dia diminta tidur di bilik asing. Malam pertama, Dahlia tidak dapat melelapkan matanya. Gelap dan sunyi sedikit menduga keberaniannya. Tapi Dahlia sudah diajar beberapa doa selain bunyi dendangan merdu daripada bilik Nek Cah. Bunyi sayup merdu itu melenakan Dahlia sehinggalah ia menjadi ‘ubat’ tidur kepada Dahlia. 
Setelah beberapa bulan, Dahlia memberanikan diri bertanya, “Nek, boleh Lia tahu setiap malam nenek menyanyi lagu apa?”
Nek Cah memandang Dahlia dengan kasih. “Lia mahu tahu?”
Dahlia mengangguk.  
***
“Syair yang Hilang.”
Persembahan Dahlia di kafe itu menjadi tular. Di media sosial video persembahannya dikongsi ramai orang.
“Ini syair.” Dahlia menjelaskan ketika salah seorang pelanggan kafe bertanya tentang lagu apakah yang Dahlia persembahkan. Komen-komen positif dan memuji. Pemilik kafe tersenyum, mengucapkan tahniah dan memberi peluang kepada Dahlia bekerja di situ – sebagai penghibur. Dahlia percaya, apa yang Nek Cah mahukan selama ini akan dapat dipenuhi. 
“Tidak salah minat seni. Mahu jadi penghibur. Belajarlah. Padukan suara, dalami seni halus budaya kita. Tetapi bagaimana hiburan yang mahu dibawa? Tidak salah juga meneroka irama dan muzik baharu, tetapi yang lama jangan dilupakan.” Nek Cah mengutarakan persoalan. Nek Cah memang bukan sembarangan wanita. Catatan Nek Cah yang berjilid-jilid tersimpan elok dalam biliknya.
“Nenek tulis apa?” Soalan Dahlia membuatkan jemari Nek Cah yang ligat mencatat terhenti.
“Nenek menuliskan pesan. Banyak yang nenek mahu beritahu Dahlia, mahu beritahu orang. Mahu berkongsi sesuatu.” Nek Cah terhenti bersuara. Senyumannya masih tidak lekang walaupun wajahnya sedikit sayu. 
“Nanti kalau nenek mati, Dahlia ….” belum sempat ayat itu ditamatkan, jemari halus Dahlia menutup bibir Nek Cah dan tangisan Dahlia membunuh suasana rumah kecil itu. 
“Jangan mati. Dahlia mahu nenek ada sampai bila-bila. Ajarkan Lia bersyair.” Dahlia memohon. Nek Cah senyum. Neh Cah akan mula memeluk Dahlia dan mendendangkan lagu yang merdu dan mesra itu sekali lagi. Dahlia terpujuk. Senyum memekar kembali.
***
“Tapi ingat, isinya yang harus diutamakan. Untuk membina isi, Lia perlu banyak belajar. Dari buku, dari alam, dari orang keliling. Bukan sekadar susunan kata-kata yang mengkhayalkan. Harus ada pesanan hikmat.”
“Kata falsafah orang Melayu, alam berkembang menjadi guru…sopan dan santun jaga selalu … itulah adab manusia berilmu.” Nek Cah mendendangkan serangkap lagu.
Sejak itu Dahlia banyak membaca buku catatan Nek Cah yang bertulis tangan yang membawa banyak pesanan lampau tentang adab dan ilmu, tentang luasnya alam ciptaan Tuhan. Tentang manusia dan perangai-perangainya. Dan pesanan-pesanan bernas itu masih relevan sehingga kini. Dahlia mendewasa bersama kebijaksanaan Nek Cah mengarang kata bersemi nada pelbagai irama - Selendang Delima, Narasi, Dandan Delima, Siti Zubaidah, Perindu, Dodoi…”
“Banyaknya!” 
“Tapi orang sudah tidak minat.” Nek Cah senyum pahit. “Zaman terlalu laju bergerak. Manusia sudah tidak terkejar dengan budaya-budayanya. Banyak yang merasuk budaya kita. Dunia tanpa sempadan, kemodenan, teknologi yang tinggi, semua itu sedikit sebanyak menenggelamkan budaya asli dan kebijaksanaan setempat.”
Ketika menyambung pelajaran di kota, Dahlia mula menjadikan syair tulisan dan dendangan Nek Cah sebagai peneman hariannya. Beberapa rakaman suara Nek Cah sempat dibuat. Dahlia mendalami seni persembahan tradisional mengkhusus kepada syair sebagai subjek tambahan. Namun, tahun berikutnya subjek itu digugurkan daripada senarai kursus pilihan. “Tiada sambutan. Hanya awak seorang sahaja yang minat.” Demikian kata pegawai pendaftar.
Namun, pesanan nenek diingati. “Jangan berhenti bersyair. Nenek sudah sediakan banyak lagu untuk Lia nyanyikan. Kembalikan semua irama syair.” Dahlia mengangguk dengan fikiran masih samar tentang syair yang dipuja-pujanya itu.
Takdir Tuhan tetap tidak terduga. Nek Cah pergi meninggalkan Dahlia beberapa tahun kemudiannya. Dahlia kesedihan. Pelajarannya terganggu. Dahlia mengurung diri mencari damai hati sendiri. Rakaman suara Nek Cah dimainkan berkali-kali sehingga rapuh hatinya hilang dibawa lena. 
Suatu pagi Dahlia terjaga dari lena. Entah mengapa telinganya seolah-olah mendengar suara Nek Cah. Dia melangkah perlahan menuju ke bilik Nek Cah. Bilik itu masih kemas, wangi dan segar. Seolah-olah Nek Cah masih ada. Dahlia menuju ke almari lama di penjuru katil. Pintu almari dibuka perlahan. Tersusun buku-buku catatan tulisan tangan Nek Cah. Dahlia tanpa menghiraukan masa yang bergerak, hanyut dalam setiap catatan Nek Cah.

Bangunlah sayang Dahlia sayangku
Jangan biarkan jiwamu layu
Bangkit segerakan apa dicita
Jangan kalah dugaan dunia.

Nenek berpesan di kejauhan
Tidak pernah ingin biarkan
Kasih nenek sepanjang zaman
Walau jasad dikebumikan….

Dahlia menyeka air matanya buat kali terakhir. Nek Cah berpesan dalam catatan yang panjang dan tidak terkirakan. Dahlia segera sedar ini sahajalah kenangan dia dengan neneknya. Dan kenangan ini bukan sekadar untuk dikenang-kenang.
 Dahlia kembali ke kota. Dia bertekad mahu meneruskan hidup sekental Nek Cah. Dahlia membuat apa sahaja pekerjaan demi menyara hidupnya. Kehidupan semakin getir. Kemodenan mengajak penghuninya turut sama berlari mengejar entah apa. Dahlia juga semakin betah dengan kesibukan diri sehingga terlupa seni nan satu itu. Cuma sesekali dia melihat buku-buku yang tersusun di rak biliknya - membaca dan mengenang suara nenek yang sayup mendiami hatinya.
Dahlia berhasrat menyambung pelajarannya yang terhenti. Mengambil kursus yang bukan minatnya tetapi demi mengisi periuk nasinya, Dahlia berusaha sebaik mungkin mengambil inspirasi nenek yang suka menambah ilmu sehinggalah suatu hari telinganya tertangkap irama merdu itu semula. Dahlia berhenti melangkah. Telinganya cuba mencari asal dendangan itu. 
Bilik seorang pensyarah dituju. Dia mendekatkan telinganya ke pintu.  Tombol pintu berputar. Dahlia tidak sedar pintu terbuka dan dia bertentang mata dengan seseorang.
***
“Kan saya dah kata, Dahlia boleh.” Pensyarah muda itu memuji Dahlia.
“Terima kasih Dr. Saya sangat berterima kasih kerana Dr. mendesak saya. Saya hampir lupakan keindahan seni syair ini.” Dahlia merendah diri. 
Dr. Arfan tersenyum. Dia sendiri bersyukur bertemu dengan Dahlia ketika keyakinannya kepada syair mula hilang. Dahlia menjadi pelajarnya secara tidak rasmi, membantunya mempengaruhi pelajar lain untuk mendaftar dan akhirnya subjek itu dikembalikan. Cuma dia masih belum nampak syair mampu menjadi kemahiran atau seni yang menguntungkan. Perjalanan masih jauh namun tidak mustahil seni indah ini akan merajai hati generasi masa kini bukan sahaja melalui keindahannya tetapi juga nilai ekonominya setanding seni muzik yang lain. 
Dia hanya perlu seorang Dahlia yang percaya dan menyimpan khazanah berharga syair daripada neneknya, Nek Cah yang pernah didengari tentang kehebatannya melalui orang lama secara lisan. 
Dan cabarannya kepada Dahlia untuk pergi ke sebuah daerah yang moden dan hilang nilai tradisionalnya, mempersembahkan tradisi syair ini nampaknya telah berjaya. 
Di kedai buku, nama Nek Cah mula disebut melalui penerbitan buku-buku syair karangannya. Dahlia senyum, bersyukur mendoakan Nek Cah bahagia di sana.
“Pesanan nenek telah Dahlia tunaikan.”

 
 
Redaksi | RSS | Pedoman Media Siber Copyright © 2017 by detakriau.com. All Rights
 
 
22:52 | WARTAWAN DETAK RIAU DIBEKALI KARTU PERS DALAM PELIPUTANNYA, JIKA MENCURIGAKAN HUB 0813-655-81599 - - - -